Lelaki pertama yang ku kenal selepas aku dilahirkan,
Lelaki pertama yang ku lihat sebaik sahaja aku melihat dunia,
Lelaki pertama yang melaungkan azan ke telinga kanan ku,
Lelaki pertama yang membacakan iqamat ke telinga kiri ku.
Semasa kecil ketika ayah memandikan kita, kita merungut,
Tetapi hari ini, bila kita memandikan ayah, ayah hanya diam seribu bahasa,
Semasa kecil ayah selalu memakaikan kita pakaian yang cantik dan berwarna-warni,
Tetapi hari ini kita hanya memakaikan kain putih sahaja untuk ayah,
Semasa kecil ayah selalu membawa kita ke mana-mana,
Tetapi hari ini, kita hanya mampu untuk membawa ayah ke destinasi terakhirnya.
Kasih ayah tidak ternilai dan tiada tandingannya,
Hargailah orang tua kita sementara mereka masih ada,
Menyesal di kemudian hari tiada gunanya.
Selamat Datang Ramadhan Al-Mubarak 1435H | Lagi beberapa jam Syaaban akan melabuhkan tirainya, Ramadhan pula yang akan menyusul. Sebagai seorang muslim, kita sudah maklum bahawa bulan Ramadhan adalah bulan Islam di mana wajib bagi kita untuk berpuasa, yang merupakan salah satu rukun Islam. Berpuasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga, dan juga menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Bulan Ramadhan juga sangat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana setiap amalan kebajikan dan amal ibadah yang dilakukan dalam bulan ini akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Itulah kasih sayang Allah kepada hambaNya. Inilah masanya untuk kita meningkatkan amal ibadah dan merebut peluang untuk mendapatkan pahala yang berganda-ganda. Semoga kita antara yang dipilih Allah SWT untuk bertemu dengan malam istimewa iaitu malam 'Lailatul Qadar'. In sya Allah.
Pada kesempatan ini, aku nak ucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak untuk tahun 2014 bersamaan 1435 Hijrah, kepada semua umat Islam. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Lakukanlah ibadah dengan sebaiknya kerana tahun depan belum tentu kita akan bertemu Ramadhan lagi. #NoteToMySelf :)